Sunday, April 12, 2015

KELEWAHAN DALAM PERTUTURAN SEHARIAN KITA: SEJAUH MANAKAH INI BERLAKU ?



Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan lewah bermaksud berlebih-lebih sehingga bertambah perkara, hal dan sebagainya yang tidak perlu. Terdapat beberapa aspek penggunaan bahasa Melayu yang memperlihatkan kekeliruan berkait dengan unsur lewah dalam bahasa Melayu. Sebagai contoh, penggunaan "demi untuk" seperti yang digunakan dalam ayat "Kami berjuang demi untuk negara tercinta" dianggap kurang betul. Perkataan "demi" dan "untuk" membawa makna yang sama. Kedua-dua perkataan tersebut ialah kata sendi nama. Oleh itu, penggunaan kedua-dua perkataan yang sama maknanya dalam satu ayat secara berturutan dianggap lewah. Penggunaan salah satu daripadanya sudah mencukupi.

Selain itu, terdapat beberapa perkataaan lain yang digunakan dan membawa makna lewah, antaranya ialah "Selain daripada itu,...", "Semua guru-guru...", "Antara masalah-masalah...", "Sejak dari...", dan sebagainya. Sebenarnya sifat kelewahan ini sangat digemari oleh masyarakat Melayu. Kita beranggapan bahawa, sesuatu buah fikiran itu perlu ditegaskan, maka satu perkataan dirasakan tidak cukup.

LEWAH, mengikut Kamus Dewan edisi ketiga (1997:805), bermaksud “terlalu banyak hingga berlimpah (bagi barang)”, atau “berlebih-lebih sehingga tertambah perkara, hal, dan sebagainya yang tidak perlu, (misalnya perkataan yang digunakan dalam ayat)”. Kelewahan sering terjadi dalam pertuturan, tetapi tidak kurang dalam penulisan juga.

Kelewahan menjamakkan kata bilangan pada kata nama gandaan sering berlaku. Bentuk lewah ini terjadi apabila kata bilangan yang sudah bermaksud "banyak" diikuti oleh kata nama gandaan. Hal ini mungkin kerana pengaruh daripada bahasa Inggeris. Kata bilangan yang terlibat lazimnya dari jenis tidak tentu. Sepatutnya kata nama yang mengikuti kata bilangan itu tidak perlu digandakan lagi. Sekiranya pengguna bahasa masih ingin menggunakan bentuk gandaan, kata bilangan boleh digugurkan sahaja.



Kelewahan imbuhan adjektif memper-...-kan dan diper-...-kan pun sering berlaku. Kelewahan ini terjadi apabila pengguna bahasa Melayu cenderung untuk menggandingkan kedua-dua imbuhan ini dengan kata dasar yang terdiri daripada kata adjektif, seperti *memperkemaskan, *memperlebarkan, dan *mempertinggikan, dan apabila dipasifkan menjadi *diperkemaskan, *diperlebarkan, dan *dipertinggikan. Bentuk yang tepat hanyalah memper- dalam bentuk aktif dan diper- dalam bentuk pasif sekiranya ingin digandingkan dengan kata dasar adjektif. Dengan kata lain, bentuk memper-...-kan dan diper-...-kan boleh digandingkan dengan kata dasar yang terdiri daripada kata nama dan kata kerja. Sekiranya pengguna bahasa masih cenderung menggunakan apitan bagi gandingan dengan kata adjektif, pilihan yang lain adalah dengan menggunakan apitan meN-...-kan dan di-...-kan sahaja.



Kelewahan apitan memper-...-i dan diper-...-i sentiasa berlaku. Bentuk lewah ini hampir-hampir sama keadaannya dengan bentuk lewah apitan memper-...-kan dan diper-...-kan. Pengguna bahasa Melayu kerap menggandingkan memper-...-i dan diper-...i dengan kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas, seperti *memperkuasai, *memperakui, *mempersetujui, *memperdalami dan *memperolehi bagi bentuk aktif, dan *diperkuasai, *diperakui, *dipersetujui, *diperdalami dan *diperolehi bagi bentuk pasif.

Bentuk yang tidak gramatis itu seharusnya digantikan dengan bentuk lain, sama ada memper-, meN-...-i atau memper-...-kan bagi corak aktif dan diper-, di-...-i atau diper-...-kan bagi corak pasif.


Mengikut Tatabahasa Dewan edisi baharu (1995:201), terdapat empat bentuk sahaja yang dianggap wajar menggunakan memper-...-i, iaitu memperingati, memperkawani, memperisteri, dan mempersuami. Yang perlu diingat ialah bentuk memperisteri dan mempersuami sebenarnya berbentuk memperisterii dan mempersuamii, tetapi satu huruf i mengalami pengguguran.

Kelewahan menyaling turut berlaku. Kelewahan ini lazimnya wujud apabila perkataan saling digunakan bersama-sama kata kerja yang berupa gandaan yang membawa maksud “perbuatan yang saling berbalas”. Kata ganda yang menunjukkan saling berbalas biasanya terdiri daripada kata ganda separa yang bergandingan dengan imbuhan, antaranya kejar-mengejar, tolong-menolong, pukul-memukul, bersalam-salaman, dan sebagainya.

Oleh sebab perkataan saling dan gandaan separa berkenaan masing-masing sudah menunjukkan perbuatan balas-membalas oleh dua pihak terhadap satu sama lain, maka salah satu unsurnya wajar digugurkan. Cara penyelesaian bagi bentuk lewah ialah sama ada dengan mengekalkan ataupun menggugurkan perkataan saling. Sekiranya saling dikekalkan, bentuk gandaan digugurkan, dan sebaliknya jika saling digugurkan, bentuk gandaan dikekalkan.
Kelewahan kata sendi nama berlaku juga. Kelewahan kata sendi nama terbentuk apabila dua kata sendi nama digunakan secara berturutan. Kedua-dua kata sendi nama yang digunakan lazimnya membawa maksud yang sama. Dengan hal demikian, sewajarnya satu daripadanya digugurkan, atau satu sahaja yang digunakan.

Kata sendi nama demi dan untuk masing-masing membawa maksud yang berkaitan dengan tujuan. Perkataan semenjak dan dari pula masing-masing menjadi penanda masa atau waktu.

Kelewahan kata adjektif sering berlaku juga. Bentuk lewah ini berkaitan dengan penggunaan kata penguat bagi kata adjektif darjah penghabisan. Kelewahan terjadi apabila bentuk penguat paling atau ter- diikuti oleh kata sekali. Dengan kata lain, bentuk-bentuk penguat itu tidak wajar muncul serentak sebagai satu frasa adjektif kerana masing-masing sudah bermaksud “darjah penghabisan”. Dengan hal demikian, pengguguran satu daripadanya perlu dibuat, sama ada menggugurkan atau mengekalkan sekali.

Sebenarnya banyak contoh kelewahan lain yang perlu diteliti agar bahasa menjadi lebih ekonomis dan persis. Contohnya ialah negeri Kelantan, bunga ros, ikan haruan, warna hijau, orang perempuan, burung enggang, dan tahun 2004. Semua orang sedia maklum bahawa Kelantan itu negeri, ros itu bunga, haruan itu ikan, hijau itu warna, perempuan itu orang, enggang itu burung, dan 2004 itu tahun. Jika demikian, mengapakah kelewahan seperti ini tidak diberikan penelitian dan penilaian yang meluas serta dikaji secara analitis dan kritis?

Contoh-contoh yang diberikan di atas bukanlah kutipan sebarangan, malahan yang diperoleh daripada pengamatan pertuturan dan tulisan, baik dalam situasi formal mahupun yang tidak formal. Menyedari keadaan ini, kelewahan dapatlah ditanggapi sebagai sesuatu yang lumrah akan wujud dalam budaya berbahasa memandangkan khazanah kata bahasa Melayu yang sememangnya kaya dan indah. Dari satu segi, kelewahan dalam berbahasa perlulah diamati dengan saksama kerana jika kita menentukan hukum bahawa sebarang kelewahan akan menyebabkan kesalahan dan pencemaran bahasa, maka kita telah menafikan suatu hakikat terpenting, iaitu kelewahan perlu dilihat juga sebagai satu kekayaan, daya, dan akal dalam sistem bahasa Melayu yang menekankan keperibadian yang tersendiri dan unik.



RUJUKAN :

Alin03. 2010. Lewah. Diakses daripada https://www.scribd.com/doc/28539462/LEWAH
               pada 12 April 2015, 2.10 pm

1 comment:

  1. adakah ayat “pekerja ialah percuma dan tiada sebarang bayaran dikenakan.” – ialah percuma dan tiada sebarang bayaran merupakan ayat lewah?

    ReplyDelete