Sunday, April 12, 2015

ADAKAH PERUMPAMAAN DALAM PERTUTURAN SUDAH SEMAKIN LENYAP?



Orang Melayu terkenal dengan budaya yang sopan, baik perlakuan atau pertuturan, yang ditunjukkan dalam cara menggunakan bahasa. Pada suatu ketika dahulu, mereka menggunakan bahasa yang lembut dan bertapis untuk menegur, memberikan nasihat serta menyindir orang lain. Bahasa berkias dan bertapis digunakan untuk mengelakkan orang lain daripada berasa sakit hati dan terluka dengan cara menegur atau menyindir.
Cara yang dimaksudkan adalah dengan menggunakan peribahasa. Peribahasa yang pernah didefinisikan oleh Za’ba ialah segala susun cakap yang pendek yang telah melekat di mulut orang ramai beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak perkataan, luas dan benar tujuannya, dipakai akannya menjadi sebutan oleh orang sebagai bandingan, teladan dan pengajaran. Bidalan, pepatah, perbilangan dan perumpamaan merupakan peribahasa kerana mengandungi sifat peribahasa yang disebutkan itu.
Perumpamaan merupakan aspek bahasa yang sangat penting dalam mendidik masyarakat supaya mengamalkan norma dan nilai yang baik. Pada suatu ketika dahulu, perumpamaan digunakan secara meluas dalam persuratan dan pertuturan harian. Perumpamaan menjadi kebiasan dan amalan dalam kehidupan bermasyarakat, bak kata pepatah tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Setelah masa berlalu dan arus pemodenan semakin rancak berkembang, penggunaan perumpamaan tidak lagi popular, malah tidak banyak orang yang dapat menggunakannya dalam pertuturan harian. Sesekali kita mendengar peribahasa dalam televisyen apabila wartawan TV3, Karam Singh Walia, menggunakannya ketika membuat liputan.
Generasi baharu minat untuk belajar dan mencuba untuk menggunakan peribahasa. Menurut (Luie Elis: 2009), terdapat empat factor yang menyebabkan golongan ini tidak berminat untuk menggunakan peribahasa. Pertama, generasi baharu berasa kabur dengan erti sebenar sesuatu peribahasa dan hal itu menyebabkan mereka ragu-ragu untuk menggunakannya.
Kedua, generasi baharu ini menganggap isu peribahasa ini tidak lagi relevan untuk masa sekarang. Faktor ketiga ialah mereka mahu percakapan yang lebih jelas dan tepat dan yang yang keempat ialah mereka tiada kemahiran mengarang peribahasa secara spontan dalam pertuturan.
Dalam keadaan yang sebenar, penggunaan perumpamaan masih relevan dan sesuai untuk masa sekarang. Perkembangan teknologi bukan menjadi alasan untuk mengelakkan kita daripada menggunakan perumpamaan dalam pertuturan harian. Kebolehan menggunakan perumpamaan dalam pertuturan merupakan kelebihan dan kenunikan kepada diri kita sendiri.

                                                                                                                        


MEWUJUDKAN KESERONOKAN
Penggunaan perumpamaan dalam pertuturan mampu mewujudkan keseronokan dalam pergaulan, meningkatkan kemahiran berkomunikasi, mengeratkan perhubungan dan memberikan kesedaran secara positif kepada orang lain terhadap budaya orang Melayu yang sebenar. Contohnya dalam ayat ini, “Kamal, saya mahu pulang. Saya seperti pacat kenyang.” Gurauan itu bermaksud kita pulang tergesa-gesa selepas sahaja makan dengan kenyang mungkin kerana ada hal yang perlu diselesaikan. Rakan yang mendengar,mungkin akan tergelak kerana mendengar kita berbahasa dengan menggunakan kiasan.

MEMBERIKAN NASIHAT
Penggunaan perumpamaan dalam memberikan nasihat bertujuan untuk menyedarkan seseorang dengan membandingkan perbuatannya dengan sesuatu benda yang lebih maujud. Kaedah ini lebih berkesan kerana oaring yang menerima nasihat akan sedar tentang kelemahan atau perbuatan tidak baik yang dilakukan. Contohnya Jika melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Ini bermaksud rebung memang lebih mudah dilentur berbanding dengan buluh yang dewasa. Begitu juga dengan kanak-kanak. Mereka lebih mudah dididik atau dinasihati berbanding dengan orang dewasa.

MENYINDIR DENGAN SOPAN
Menyindir dengan sopan bertujuan untuk menegur seseorang dengan bahasa yang bertapis supaya tidak keterlaluan, tetapi memberikan mesej yang tajam. Menyindir dengan sopan menandakan orang itu bijak menggunakan bahasa supaya mesej yang disampaikan berkesan dan orang yang mendengarnya dapat membetulkan kesilapannya. Perumpamaan yang sederhana dan bersifat praktikal dapat digunakan supaya maksudnya betul-betul sampai kepada penerima. Contohnya dalam situasi berikut , “Akmal, kamu tidak akan berjaya sekiranya kamu duduk diam seperti Mat Jenin.

MENYATAKAN PENDIRIAN YANG TEGAS
Perumpamaan yang digunakan untuk menyatakan pendirian yang tegas dengan menggunakan pemilihan kata dan kiasan yang memberikan kesan yang sangat mendalam. Kadangkala kita mahu menyatakan pendirian dengan menggunakan kata putus yang biasa diungkapkan, namun kata putus itu lebih jelas dan tegas sekiranya disertai perumpamaan. Contohnya, perumpamaan seperti berpatah arang berkerat rotan yang bermaksud memutuskan tali persahabatan atau persaudaraaan dengan niat tidak mahu menyambungkannya semula. Perumpamaan yang dibayangkan dengan kiasan ini cukup jelas bahawa pendirian di buat dengan bersungguh-sungguh dan tegas.

KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, peranan perumpamaan sangat jelas dalam mendidik masyarakat. Perumpamaan yang tergolong dalam peribahasa perlu dipraktikkan supaya tidak hilang ditelan zaman kerana perumpamaan merupakan khazanah bahasa yang tidak ternilai harganya. Generasi baharu perlu sedar bahawa perumpamaan bukanlah ungkapan yang biasa, tetapi ketinggian pemikiran. Za’ba dalam (Luie Elis: 2009),  menyatakan bahawa peribahasa merupakan lidah pendeta. Pernyataan tersebut jelas menggambarkan nilai dan ilmu yang terkandung dalam perumpamaan itu.  

RUJUKAN :

Luie Elis.  2009. Pelita Bahasa. Fungsi Perumpamaan Dalam Pertuturan. Keluaran Mac
            2009.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments:

Post a Comment