Keupayaan Bahasa Melayu di
Persada Antarabangsa Dewasa ini dilihat seperti kurang bermaya dan diperkecil
oleh bangsa sendiri. Buktinya dapat dilihat apabila Institusi Pengajian Tinggi
terutamanya Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) lebih memartabatkan bahasa
Inggeris berbanding bahasa Melayu. Manakala Institusi Pengajian Tinggi Awam
(IPTA) juga nampaknya cenderung ke arah mendaulatkan bahasa Inggeris apabila
proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) diwajibkan menggunakan bahasa
Inggeris sepenuhnya. Oleh yang demikian, timbul beberapa persoalan mengenai
nasib bahasa Melayu di bumi sendiri sekiranya institusi yang berpaksikan budaya
intelektual juga turut menganaktirikannya. Mampukah bahasa yang pernah menempa
kegemilangan pada zaman Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka ini bersaing di
persada antarabangsa?. Walau bagaimanapun, penulisan ini tidak bermaksud untuk
menafikan realiti keperluan menguasai ilmu pengetahuan melalui bahasa Inggeris,
malah agenda yang perlu diberi penekanan adalah memartabatkan bahasa Melayu dan
memperkukuhkan bahasa Inggeris. (Ku Hasnita Ku Samsu et al. 2013: 55 – 65)
Sebelum itu, rakyat
Malaysia terkesima dengan isu yang menggegarkan dunia pendidikan di Malaysia
apabila pihak kerajaan sendiri memansuhkan penggunaan bahasa Melayu dalam
pengajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah seluruh Malaysia.
Isu Pengajaran & Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
(PPSMI) menjadi mimpi ngeri kepada pelajar, pendidik, pengkritik, pejuang,
penutur, pencinta dan penggiat bahasa Melayu. Pelbagai usul, protes, dan malah
demonstrasi aman dilakukan sebagai usaha merayu simpati daripada pihak bertanggungjawab
khasnya Kementerian Pelajaran Malaysia supaya PPSMI dimansuhkan seratus
peratus. Walau bagaimanapun, segala tindakan dan usaha pemansuhan PPSMI dilihat
terlalu memakan masa disebabkan karenah birokrasi dan campur tangan individu
tertentu dan ahli politik yang dangkal. Namun akhirnya PPSMI ini dimansuhkan
juga pada tahun 2012. Kita kembali kepada era untuk memartabatkan bahasa
Melayu. Namun, pelaksanaannya menjadi
semakin sukar kerana pada masa yang sama kita juga sibuk hendak memperkasakan
bahasa Inggeris.
Daripada sudut politik
pula, slogan “Kepimpinan Melalui Teladan” seakan-akan hangat-hangat tahi ayam
apabila para pemimpin negara sendiri yang gah bertutur dalam bahasa Inggeris
pada majlis rasmi kerajaan pada peringkat domestik. Apatah lagi jika majlis itu
bertaraf antarabangsa yang melibatkan kehadiran rakyat asing, martabat bahasa
Melayu dilihat rendah duduknya malah kadang-kadang dipinggirkan. Daripada
tulisan pada latar pentas hinggalah iklan pada kain rentang di tepi jalan, dan
seterusnya pengacaraan majlis dan sesi ucapan, semuanya menggunakan bahasa Inggeris. (Ahmad Zaidi Nordin: 2013).
Jadi renung-renungkanlah
sama ada bolehkah kita memartabatkan semula bahasa Melayu agar bahasa ini
kembali mencapai kegemilangannya. Ini telah berlaku suatu ketika dahulu pada zaman
kegemilangannya yang luar biasa sekitar abad ke-13iaitu pada zaman Kesultanan
Kerajaan Melayu Melaka apabila bahasa Melayu berfungsi sebagai lingua franca,
iaitu bahasa perhubungan antara penduduk tempatan dengan para pedagang asing
bagi urusan perdagangan. Ini bermakna, setiap pedagang dari seluruh pelosok
dunia yang berhajat untuk singgah di pelabuhan Melaka atau menjalankan kegiatan
perdagangan mestilah pandai bertutur dalam bahasa Melayu.
Di samping itu, bahasa
Melayu juga berkemampuan menjadi bahasa antarabangsa
apabila bahasa tersebut
digunakan dalam hubungan diplomatik antara Melaka dengan negara-negara asing
seperti negara China. Dalam konteks ini, keperluan mengetahui dan memahami
bahasa-bahasa asing telah mendapat ‘perhatian diraja’ pada zaman Dinasti Ming
apabila jawatankuasa jurubahasa (Da Tong Shi) telah ditubuhkan untuk memenuhi
kepentingan dan keperluan dalam hubungan luar negara. Mengikut Liang Liji yang
dipetik dalam Awang Sariyan (2011), terdapatnya Tong Shi atau jurubahasa yang
berkhidmat dalam 18 jawatankuasa
kecil (Xiao Tong Shi)
berjumlah 60 orang, dan dua orang daripadanya khusus untuk bahasa Melayu, iaitu
seorang untuk Melaka dan seorang lagi untuk Sumatera. Untuk melatih para
jurubahasa, pada tahun 1405, Maharaja Ming Cheng Zhu menubuhkan akademi bahasa
yang dikenal sebagai Si Yi Guan (Balai Bahasa Negeri-negeri Asing) di ibu Negara
Ying Tian Fu (kini Nanjing). Terdapat lapan buah jabatan di akademi bahasa
asing itu. Bahasa Melayu dimasukkan di bawah Hui Hui Guan (Jabatan Islam yang
meliputi Parsi, Arab, Melaka, Jawa dan lain-lain). Akademi bahasa asing itu
bertahan melebihi 400 tahun, dan dilanjutkan dalam Dinasti Qing yang menggantikan
Dinasti Ming walaupun namanya diubah pada 1748 menjadi Hui Tong Si Yi Guan. Peranan
akademi itu hanya terhenti sesudah Perang Candu pada tahun 1840, sesudah
Dinasti Qing menghadapi ketidakstabilan politik (Liang Liji, 1996 ). Dengan
demikian jelaslah bahawa bahasa Melayu mempunyai kekuatan yang mampu
diketengahkan sebagai bahasa perhubungan di peringkat antarabangsa. Namun,
pemerkasaan bahasa inggeris yang begitu berleluasa dibimbangi akan menganggu
usaha untuk memertabatkan semula bahasa Melayu.
Rujukan :
Ahmad Zaidi Nordin. 2013. Nasib
Bahasa Melayu: Mendepani Cabaran Nilai
Ekonomi Darihal Bahasa: Dewan Bahasa Dan Pustaka
diakses melalui
http://dwnbahasa.dbp.my/?m=201302&paged=2
pada 8April 2015
pada jam 1.25 pm
Ku Hasnita Ku Samsu et al.
2013: 55 – 65. International Journal of the Malay
World
and Civilisation (Iman) 1(1), Keupayaan Bahasa Melayu di
Prersada
Antarabangsa. Diakses melalui
http://journalarticle.ukm.my/6393/1/IMAN1_4.pdf
pada 8 April 2015
pada jam 1.45pm
Liang Liji. 1996. Hubungan
Empayar Melaka-Dinasti Ming Abad ke-15. Penerbit UKM:
Bangi ISBN 967-942- 335-2 146
hlm
No comments:
Post a Comment