Sunday, April 12, 2015

Aku dan bahasa: ADAKAH BAHASA MELAYU SEDANG SAKIT ?







Seperti manusia, bahasa
juga ‘sakit’. Setiap penyakit ada ubatnya. Bahasa yang ‘sakit’ perlu diubati
agar tidak memudaratkan penggunanya.
Di Malaysia, bahasa
Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, tidak dapat
dinafikan, berada dalam keadaan ‘uzur’ yakni lemah, kebelangan ini. Kelemahan
itu antaranya, berpunca daripada rakyatnya sendiri yang kurang atau tidak cekap
mengurusnya, baik oleh masyarakat umum dalam kehidupan harian mereka mahupun
oleh pemimpin dalam kepimpinan mereka.
Bahasa yang dianggap
sebagai satu entiti organik perlu diurus dengan baik agar jangka hayatnya mampu
menjangkau satu tempoh yang lebih lama selain selalu berada dalam keadaan
‘cergas’ untuk mendukung pelbagai fungsi, sama ada yang umum ataupun yang
khusus.
Malangnya, keracunan
dalam bahasa Melayu semasa digunakan dalam domain rasmi atau formal berleluasa
sekali, lebih-lebih lagi akhir-akhir ini dengan berlangsungnya beberapa proses
sosial atau budayaseperti globalisasi, modenisasi dan liberalisasi. Untuk
mengatasi masalah masalah keracunan itu, pemurnian bahasa Melayu khususnya yang
berkaitan dengan penguatkuasaan penggunaan bahasa standard, perlu ditingkatkan.
 Pemurnian itu antaranya dapat dilakukan
melalui mekanisme formal, iaitu piawai penggunaan bahasa Melayu yang baik dan
betul seperti yang ditetapkan dalam buku panduan tentang gaya dan nahu, serta
dalam ruangan akhbar tentang pembelajaran bahasa Melayu.
Selain itu, bahasa yang
sedang sakit ini juga perlu dirawat dari segi pemulihan, yakni kembali kepada
keadaan biasa atau keadaan semula. Untuk hal itu, peranan bahasa Melayu yang
sebelum ini digunakan untuk mengungkapkan komunikasi negara dalam bidang moden,
seperti sains dan teknologi, tetapi kini diambil alih oleh bahasa Inggeris,
perlu dikembalikan. Dengan erti kata lain, status bahasa Melayu selaku bahasa
moden perlu dikembalikan kepadanya.
Rawatan untuk bahasa
Melayu yang seterusnya adalah dalam bentuk penyelenggaraan, yakni menyelesaikan
masalah yang dihadapi oleh bahasa itu, baik yang bersabit dengan statusnya
mahupun korpusnya. Dari segi korpus, bahasa Melayu sebenarnya mempunyai
kekuatan yang lebih daripada mencukupi untuk berhadapan dengan pelbagai domain
dan laras moden. Pembaharuan yang berlaku kepada bahasa itu, sejak diangkat
menjadi bahasa negara, khususnya sebagai bahasa rasmi pada tahun 1957 dan
hingga kini, tidak lain dan tidak bukan bermatlamat untuk memudahkan
penggunaannya.
Melalui pembaharuan
itu, korpus bahasa Melayu hampir sempurna dari segi kodifikasinya, iaitu
pembakuan. Dengan hal itu, bahasa Melayu dapat dikatakan tidak menghadapi
sebarang masalah dan persoalan linguistik yang besar, melainkan perbezaan
pandangan dalam kalangan ahli linguistik bahasa itu tentang, misalnya beberapa
kategori nahu, yang sebenarnya tidak boleh sekali-kali pun membantutnya
fungsinya selaku bahasa moden.

Dalam kes bahasa Melayu
yang ditimpa banyak ‘penyakit’ akhir-akhir ini, rawatan tersebut perlu
disegerakan agar keadaan mudarat yang dihadapinya dapat ditangani dengan cepat.
Tindakan merawat yang cepat penting agar ‘kerosakan’ yang berlaku pada bahagian
tertentu bahasa itu tidak berterusan hingga dapat menjadi sesuatu yang amat
berbahaya, yang akhirnya dapat menyebabkan sifat terminal padanya, yakni boleh
membawa ‘maut’.
Bahasa Melayu
sebenarnya berada dalam keadaan kritikal apabila kehilangan fungsi penting yang
didukunginya selama ini, yakni apabila fungsi komunikasi utamanya sebagai
bahasa pengantar, ilmu atau saintifik tidak lagi diperlukan.
Penggunaan bahasa lain
sebagai ganti, untuk apa-apa juga tujuan, sama ada absah ataupun sebaliknya
akan dan sudah pun memperlihatkan pengambilalihan secara perlahan-lahan
beberapa fungsi sosial masyarakat , negara dan mungkin semuanya kelak????

RUJUKAN :

Teo Kok Seong. 
2009. Pelita Bahasa. Cara Merawat Bahasa Yang Sakit.  Keluaran Julai
          2009.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
.

No comments:

Post a Comment